About Us


MAKLUMAT ORGANISASI
      Sejarah ringkas / latar belakang
Jabatan Tenaga Kerja telah ditubuhkan pada tahun 1912 dan jabatan ini merupakan salah satu daripada sembilan buah jabatan dan agensi yang terletak di bawah bidangkuasa Kementerian Sumber Manusia. Sebelum tahun 1960an, objektif jabatan ini adalah “menjaga kepentingan dan kebajikan di sektor perladangan dan perlombongan”.
      Pada dasarnya, Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan di bawah Jabatan Tenaga Rakyat telah bergabung dengan Jabatan Buruh Semenanjung Malaysia. Hasil penggabungan ini telah membawa pembaharuan yang besar kepada jabatan di mana bukan sahaja melibatkan pertambahan tanggungjawab dan fungsi tetapi juga beberapa aspek lain. Penggabungan yang dilakukan telah membawa kepada pertukaran nama daripada Jabatan Buruh kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK).
      Penggabungan ini telah menjadikan JTK di negeri Kelantan dibahagikan kepada beberapa cawangan iaitu JTK Negeri Kelantan, PTK Cawangan Kota Bharu dan PTK Cawangan Kuala Krai. Bagi JTK Negeri Kelantan, ia beroperasi di Tingkat 11, Wisma Persekutuan, Jalan Bayam, 15200 Kota Bharu, Kelantan. Manakala PTK Cawangan Kota Bharu pula beroperasi di Aras Bawah, Wisma Persekutuan, Kota Bharu, Kelantan.
 Visi / misi organisasi
Visi Jabatan Tenaga Kerja adalah sebagai agensi penggerak utama di dalam menjana pengurusan sumber manusia yang cemerlang di sektor swasta. Misinya pula adalah untuk membangunkan masyarakat industri yang bermaklumat, produktif, berdisiplin, penyayang serta responsif kepada perubahan-perubahan di dalam persekitaran perburuhan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan menambahkan peluang pekerjaan.

Objektif organisasi
Setiap organisasi mempunyai objektif mereka yang tersendiri, di mana objektif tersebut akan membawa kepada pencapaian visi dan misi sesebuah organisasi. Objektif Jabatan Tenaga Kerja Kota Bharu adalah melindungi kepentingan dan memajukan kebajikan masyarakat industri, mengutamakan dan memperluaskan peluang-peluang pekerjaan kepada warganegara, membantu industri meningkatkan daya saing bagi menghadapi cabaran globalisasi, dan membina masyarakat yang berpengetahuan dalam hal dan undang-undang perburuhan untuk mewujudkan suasana perburuhan yang kondusif bagi pembangunan perindustrian dan pelaburan.

Produk / servis
JTK menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi memastikan para pekerja dilindungi di bawah undang-undang buruh yang ditadbir dan dikuatkuasakan oleh jabatan. Di samping itu, pekerja dan majikan juga dapat menikmati faedah-faedah yang telah ditetapkan di bawah undang-undang yang berkaitan di mana ia dapat menjaga kepentingan kedua-dua belah pihak. Antara perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan ialah:


Mahkamah Buruh
Mahkamah buruh merupakan satu mekanisme pengadilan yang dilaksanakan oleh JTK untuk menyelesaikan tuntutan pekerja terhadap majikannya atau sebaliknya. Objektif Mahkamah Buruh adalah untuk membicarakan dan menyelesaikan tuntutan-tuntutan pekerja terhadap majikannya atau sebaliknya dengan cepat, mudah dan murah.

Di antara bidangkuasa Mahkamah Buruh yang pertama adalah mendengar dan memutuskan perkara-perkara seperti pertikaian di antara majikan dengan pekerjanya mengenai gaji atau lain-lain bayaran yang berhak diterima oleh seseorang pekerja di bawah kontrak perkhidmatannya atau di bawah mana-mana peruntukan Akta Kerja 1955 atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya atau mana-mana peruntukan Akta Majlis Penetapan Gaji 1947 atau mana-mana perintah yang dibuat di bawahnya.

 Selain itu, tuntutan juga merupakan bidangkuasa Mahkamah Buruh yang pertama. Antaranya adalah seperti tuntutan pekerja untuk meringankan hukuman tatatertib daripada hukuman berat yang dikenakan terhadapnya, tuntutan majikan terhadap pekerja yang gagal membayar gaji ganti notis penamatan perkhidmatannya dan tuntutan seseorang‘contractor for labour’ terhadap seseorang kontraktor atau kontraktor kecil ke atas bayaran yang berhak di terimanya di bawah perjanjian dengan kontraktor atau kontraktor kecil kerana membekalkan pekerja.

Manakala bidangkuasa Mahkamah Buruh yang kedua pula adalah mendengar dan memutuskan kes tuntutan yang amaunnya tidak terhad. Di samping itu, rayuan terhadap keputusan Mahkamah Buruh. Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati terhadap keputusan Mahkamah Buruh boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan ke Mahkamah Buruh.

Siasatan Aduan
JTK juga bertanggungjawab membantu menyelesaikan masalah di antara majikan dengan pekerja yang berkaitan dengan isu-isu perburuhan. Objektif siasatan aduan ini ialah untuk menyelesaikan pengaduan awam yang diterima tentang masalah perburuhan dari pekerja atau majikan dengan segera untuk mengelakkan tercetusnya konflik yang lebih serius yang boleh menjejaskan hubungan di antara kedua-dua belah pihak.

Prosedur untuk membuat aduan ialah aduan boleh dibuat sama ada melalui telefon, datang sendiri atau menghantar surat ke pejabat JTK yang berdekatan. Di samping itu, pihak pengadu perlu memberi maklumat asas seperti nama dan alamat pihak yang diadu, isu-isu yang hendak diadu hendaklah diperincikan dan nama serta alamat pengadu. Pegawai akan membuka fail kes sekirannya pengaduan yang dilakukan dilihat serius dan pegawai perlu memanggil kedua-dua belah pihak untuk mencari jalan penyelesaian sebelum kes di bawa ke Mahkamah Buruh.

Pengeluaran Permit Perburuhan
JTK boleh memberi pengecualian dari pemakaian peruntukan undang-undang buruh tertentu melalui pemberian permit-permit perburuhan. Objektif Pengeluaran Permit Perburuhan ini adalah untuk membantu industri mengoptimumkan penggunaan sumber manusia dan jentera bagi meningkatkan produktiviti atau pengeluaran di samping memelihara standard-standard perburuhan dan kepentingan pekerja.

Antara prosedur untuk memohon Pengeluaran Permit Perburuhan adalah permohonan hendaklah dibuat secara bertulis iaitu terus kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja/Penagarah Tenaga Kerja Negeri/Penolong Tenaga Kerja yang mana berkenaan. Seterusnya, JTK akan menghantar borang-borang tertentu kepada pemohon, dimana ia perlu untuk memudahkan pihak JTK mendapatkan maklumat lanjut daripada pemohon. Pemohonan yang lengkap mengikut peraturan yang telah di tetapkan oleh pihak JTK akan diproses dan akan diluluskan dalam tempoh masa satu bulan.
       
Khidmat Nasihat dan Pendidikan Perburuhan
Program Khidmat Nasihat dan Pendidikan Perburuhan yang telah diperkenalkan pada awal tahun 1992 adalah salah satu strategi dan langkah inovatif JTK di dalam menangani aduan dan ketidakpuasan hati para pekerja terhadap majikan atau sebaliknya. program ini bertujuan untuk menyampaikan khidmat nasihat dan kaunseling dengan cara yang proaktif di mana pihak jabatan akan menemui pelanggan dan bukan lagi menunggu pelanggan datang ke jabatan.

Objektif Khidmat Nasihat dan Pendidikan Perburuhan adalah untuk memberikan khidmat dan pendidikan perburuhan secara terus kepada majikan atau pekerja bagi mewujudkan kesedaran kepada mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab masing-masing di bawah undang-undang buruh yang dikuatkuasakan oleh jabatan. Aktiviti ini dilaksanakan melalui program media elektronik (televisyen dan radio), ceramah, seminar, bengkel, pameran, simposium, dan dialog di jabatan atau tempat-tempat pekerjaan dan lain-lain disamping perkhidmatan kaunter di semua peringkat jabatan dan mengedarkan risalah-risalah penerangan, buletin dan laporan tahunan.

Mengendalikan Tuntutan Pampasan Pekerja
JTK juga bertanggungjawab mengendalikan tuntutan pampasan pekerja yang ditimpa kemalangan semasa menjalankan tugas melalui penguatkuasaan Akta Pampasan Pekerja 1952. Akta ini melindungi pekerja asing yang bekerja secara sah di Malaysia bukan manual tanpa had gaji. Objektif dalam mengendalikan tuntutan Pampasan Pekerja adalah untuk membantu pekerja yang hilang upaya akibat ditimpa kemalangan semasa bekerja atau orang-orang tanggungannya jika pekerja ditimpa kemalangan maut semasa bekerja bagi mendapatkan pampasan daripada majikannya.

Antara prosedur dalam mengendalikan tuntutan Pampasan Pekerja ialah apabila berlaku kemalangan semasa bekerja, pihak majikan hendaklah melaporkan ke JTK yang terdekat dalam tempoh masa 10 hari dari tarikh kemalangan itu berlaku dan pihak majikan juga hendaklah memastikan maklumat yang diberikan adalah lengkap dan teratur dengan disertakan dokumen yang berkaitan seperti sijil cuti sakit, sijil kematian, sijil beranak anak-anak si mati dan lain-lain lagi.




Menggalakkan Penubuhan Pusat Asuhan Kanak-Kanak (PAKK) Berasaskan  Komuniti
                 
Industri perladangan memerlukan tenaga kerjanya tinggal di dalam ladang bagi menjamin operasinya berjalan dengan lancar. Oleh itu, majikan ladang biasanya akan menyediakan kemudahan perumahan dan lain-lain kemudahan asas termasuk menyediakan PAKK. Dalam hubungan ini, JTK bertanggungjawab mengawal pembinaan rumah pekerja dan pusat asuhan kanak-kanak khususnya di sektor perladangan melalui penguatkuasaan Akta Standard-Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990. Objektifnya adalah untuk mengawal pembinaan rumah pekerja dan PAKK khususnya oleh majikan di sektor perladangan dan perkilangan supaya keadaannya sempurna dan selesa serta mematuhi saiz dan menyediakan kemudahan-kemudahan asas yang statutori.

Antara prosedur untuk membina atau mengubahsuai rumah pekerja atau pusat asuhan kanak-kanak adalah majikan yang hendak membina atau mengubahsuai rumah pekerja atau PAKK hendaklah mengemukakan 4 salinan setiap satu pelan bangunan, pelan tapak, dan pelan tangki septik ke JTK yang berdekatan untuk kelulusan. Apabila rumah atau PAKK yang pelannya diluluskan siap dibina, maka majikan hendaklah memberitahu JTK berkenaan supaya Pegawai Tenaga Kerja datang memeriksa. Sekiranya pembinaan rumah atau PAKK berkenaan dibina menepati spesifikasi pelan yang diluluskan, barulah sijil kelayakan atau ‘Certificate of Fitness’ boleh dikeluarkan sebelum rumah berkenaan boleh didiami atau PAKK itu boleh digunakan.

Mempromosikan Penggajian Orang Kurang Upaya (OKU) dan   Skim Bantuan Galakan Perniagaan Orang Kurang Upaya (SBGP-  OKU)
Pada pertengahan tahun 1990, JTK telah berusaha menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kebangsaan Penggalakan Penggajian OKU di sektor swasta sebagai memenuhi tanggungjawab sosialnya dalam usaha membantu orang-orang kurang upaya mendapatkan pekerjaan di sektor swasta. Objektifnya adalah untuk membuka peluang kepada OKU bagi membolehkan mereka menyumbangkan peranan aktif dalam proses pembangunan negara disamping membantu mengurangkan masalah kekurangan tenaga kerja di sektor swasta. Majikan yang ingin menawarkan pekerjaan OKU atau OKU yang ingin mendapatkan pekerjaan boleh mendaftar di JTK yang berdekatan atau mendaftar menerusi sistem SPOKU yang di alamat http://www.elx.gov.my.

      Selain itu, SBGP-OKU pula adalah satu program kerajaan untuk membantu bantu usahawan OKU membantu OKU mendapatkan pekerjaan. RMK-9 telah memperuntukan sebanyak RM22 juta sebagai modal bantuan kepada OKU. SBGP-OKU ini adalah terbuka kepada golongan OKU di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (Lampiran).

Membantu Majikan Mendapatkan Pekerja Mengikut Keperluann Mereka dan Bimbingan Kerjaya
 JTK bertanggungjawab membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan disamping membantu majikan mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan. Perkhidmatan ini boleh diperolehi menerusi Sistem Penjodohan Pekerjaan/Job Clearing System (JCS). Objektifnya adalah membantu menambahkan penggunaan tenaga manusia dalam sektor pekerjaan negara. Pencari kerja atau majikan boleh mendaftar dimana-mana JTK atau melalui http://www.jobsmalaysia.gov.my.

Selain itu, JTK juga bertanggungjawab memberi bimbingan kerjaya serta menyampaikan maklumat kepada pelajar, lepasan sekolah dan pencari kerja disamping menjalin hubungan baik dengan pertubuhan, institusi pengajian tinggi, industri serta jabatan kerajaan. Biasanya bimbingan kerjaya ini adalah melalui pameran kerjaya, ceramah, taklimat, bengkel, seminar kerjaya, kaunseling individu dan berkumpulan.

Pengeluaran Lesen Agensi Pekerjaan Swasta  
JTK juga bertanggungjawab mendaftar serta mengeluarkan lesen kepada mana-mana agensi pekerjaan swasta yang diselaraskan di bawah Akta Pekerjaan Swasta 1981. Pemohonan dikehendaki mengemukakan permohonan menggunakan borang yang disediakan dan disertakan dengan dokumen-dokumen sokongan serta memenuhi syarat-syarat seperti pemohonan mestilah terdiri dari Syarikat Sdn. Bhd atau Berhad sahaja, salinan Sijil Pendaftaran Syarikat (Borang 9 atau 13), salinan Memorendum & Articles of Association, Borang 24 yang menunjukkan modal berbayar RM25 000, Borang 49 yang menunjukkan pembahagian saham antara Ahli Lembaga Pengarah, Akaun bank terkini yang menunjukkan RM25 000, Laporan kewangan syarikat yang diaudit (wajib), Biodata Lembaga Pengarah, Salinan kad pengenalan, Salinan borang J atau surat pengesahan LHDN, Kenyataan bukan seorang yang bankrap, Surat akuan kelakuan baik, Penjamin agensi (2 orang), Surat pengakuan (persetujuan) menjadi penjamin, Salinan kad pengenalan atau surat beranak penjamin, Salinan borang J atau surat pengesahan LHDN penjamin, Kenyataan penjamin bukan seorang yang bankrap, Kertas cadangan projek penubuhan agensi, dan Unjuran aliran tunai (Cashflow) untuk enam bulan pertama. Borang permohonan serta dokumen hendaklah dikemukakan dalam tiga salinan.

Pemeriksaan Audit
Pemeriksaan audit dilakukan oleh JTK melalui pegawai-pegawainya dipremis atau organisasi swasta yang telah berdaftar dengan JTK. Pemeriksaan ini biasanya dilakukan setahun sekali. Tujuan JTK melakukan pemeriksaan audit ini adalah untuk memastikan mana-mana organisasi atau premis swasta yang berdaftar dan beroperasi ini adalah memenuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh JTK Malaysia.

Permohonan serta Pendaftaran Menggaji Pekerja Asing
Menurut Seksyen 60K, Akta Kerja 1955. Majikan adalah diwajibkan membuat permohonan untuk menggaji pekerja asing dengan JTK yang berdekatan. Majikan boleh membuat pendaftaran secara terus atau manual dengan datang sendiri atau terus ke mana-mana JTK yang berdekatan atau majikan juga boleh membuat pendaftaran secara on-line dengan melayari laman web di http://www.jobsmalaysia.gov.my dan melengkapkan borang pendaftaran menggaji pekerja asing PA 2/98 terus melalui laman web tersebut. Surat Pengesahan Pendaftaran dan nombor pendaftaran di ruangan yang sepatutnya dan perlu disertakan sijil pengesahan pendaftaran.


          Pasukan Pengurusan
         Pasukan Pengurusan memainkan peranan yang sangat penting di dalam sesebuah jabatan. Hal ini, penting untuk menjamin keseluruhan bahagian yang terdapat di dalam jabatan ini supaya ia dapat berjalan dengan lancar serta dapat berfungsi dengan baik. Jabatan Tenaga Kerja sendiri telah membentuk satu pasukan pengurusan. Ia dibentuk dengan diketui oleh Ketua Pengarah, dibantu oleh Timbalan Ketua Pengarah 1 bahagian Penyelidikan dan Perancangan serta Timbalan Ketua Pengarah 2 bahagian operasi yang diselaraskan dengan bahagian Standard Perburuhan dan Penguatkuasaan. Manakala bahagian Penyelidikan dan Perancangan pula dibantu oleh bahagian-bahagian yang khusus iaitu bahagian Pekerja Asing, bahagian Pekerjaan, bahagian Khidmat Pengurusan, dan sebagainya. Dengan ini, kita dapat melihat bahawa JTK adalah sebuah jabatan yang mempunyai satu pasukan pengurusan yang teratur dan sistematik, ia sememangnya dapat membantu sesebuah organisasi dalam mencapai pengurusan yang lebih berkesan semasa melakukan tugas.

0 comments:

Post a Comment